Bekas pemain tengah skuad Les Blues itu menganggur selepas melepaskan jawatan jurulatih Real Madrid, namun sempat membantu kelab itu memenangi trofi Liga Juara-juara buat kali ketiga berturut-turut pada Mei lalu.

Zidane, 46, merupakan calon pilihan utama untuk menggantikan Mourinho jika pengendali dari Portugal itu dipecat.

Bulan lalu, Zidane memberitahu rakan-rakannya, beliau mungkin akan ditawarkan untuk ke Old Trafford jika Mourinho dipecat oleh United.

Dalam satu temu bual bersama media Sepanyol, Zidane berkata dia berhasrat untuk kembali semula dalam tempoh terdekat.

“Ya, sudah tentu. Tidak lama lagi saya bakal kembali menjalani latihan kerana itu adalah perkara yang saya gemari dan saya lakukan sepanjang hidup,” katanya.

Mourinho dikhabarkan berada dalam tekanan setelah kecewa dengan musim perpindahan pemain, disusuli aksi hambar awal musim yang menyaksikan United tewas dua daripada empat perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.

Dalam laporan terbaru mendakwa, Zidane sudah bersedia untuk ke Old Trafford dengan mensasarkan beberapa pemain untuk musim perpindahan akan datang.

Edinson Cavani, Toni Kroos, James Rodriguez dan Thiago Alcantara adalah antara nama yang Zidane mahukan jika dilantik selaku pengurus United. – AGENSI