Bagaimanapun, perkara pa­ling membimbangkan jurulatih Los Blancos, Zinedie Zidane sebelum ke Vicente Calderon adalah sikap terlalu selesa dalam kalangan pemainnya yang memikirkan sebelah kaki mereka sudah berada di final.

Zidane yang bakal kehilangan beberapa tonggak akibat kece­deraan, termasuk Gareth Bale, Pepe dan Daniel Carvajal akan menurunkan barisan terbaik untuk menghadapi seteru sebandar kerana mengakui pasukannya perlu menghasilkan permainan sempurna andai mahu meraih tiket final.

“Perlawanan Rabu ini (esok) akan menjadi ujian terbesar buat pasukan dan kami perlu memberikan permainan sempurna jika mahu mencatat kemenangan.

“Kami telah melakukan ba­nyak perkara bagus sejak beberapa minggu ini dengan meledak banyak gol, namun apa yang penting adalah tidak terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan besar itu kerana kita akan bermain dalam perlawanan yang sama sekali berbeza.

“Kami kena memikirkan me­ngenai kemenangan, permainan sendiri dan fokus,” kata Zidane dalam sidang akhbar hari ini.

Cristiano Ronaldo yang meledak hatrik di Santiago Bernabeu minggu lalu bakal mengetuai jentera serangan bersama Karim Benzema dan Isco, manakala Luka Modric, Casimiro dan Toni Kross mengisi bahagian tengah.

Keylor Navas pula akan menjaga gawang dengan dibantu Marcelo (bek kiri), Nacho (bek kanan) serta dua pertahanan tengah Sergio Ramos dan Raphael Varane.

Sementara itu, pengendali Atletico, Diego Simeone dijangka tidak melakukan banyak rombakan walaupun sedar pasukannya perlu melakukan apa sahaja untuk mengubah nasib mereka.

Selepas cemerlang membawa Atletico melangkah dalam dua final Liga Juara-juara, kedua-duanya tewas kepada Real, Simeone berdepan kesukaran untuk mencari tiket akhir sekali lagi tetapi masih enggan mengaku kalah.

“Kami perlu melakukan sesuatu yang mustahil dan, mengenali Atletico Madrid, kami mungkin mampu melakukannya.

“Saya yakin kami mampu melakar kejutan,” ujar Simeone. – AGENSI