Real menumpaskan musuh tetangga mereka itu dalam dua perlawanan akhir - 2016 dan 2014, selain menyingkirkan Atletico pada suku akhir edisi 2015.

Menjelang pertemuan dengan skuad bimbingan Diego Simeone itu, Zidane mahu anak-anak buahnya berwaspada dengan dendam dan kesakitan Atletico yang mampu menjadi ‘senjata’ buat mereka.

“Pertemuan sebelum ini sangat positif buat kami, namun perlawanan kali ini berbeza sama sekali. Saya percaya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mengalahkan kami dan meneruskan kemaraan.

“Kami akan turun bermati-matian esok untuk mencatat kemenangan. Kami tidak mahu terlalu memikirkan tentang aksi timbal balik (10 Mei), sebaliknya hanya mahu fokus kepada perlawanan esok,” kata Zidane dalam sidang akhbar hari ini.

Sejak final 2014, Real hanya dua kali berjaya mengalahkan Atletico dalam tempoh 90 minit permainan daripada 13 pertemuan mereka. Atletico menang lima kali dan seri enam kali.

Zidane juga mengakui, pasukannya bukan pilihan dalam perlawanan ini, sambil menegaskan peluang adalah 50-50 dan Atletico sebuah pasukan yang sangat kuat.

“Kami bukan pilihan. Ia 50-50.

“Setiap tahun, Atletico menunjukkan peningkatan dan mereka sentiasa menjadikan keadaan sangat sukar buat kami. Mereka sentiasa berjuang, bertarung dan memiliki senjata.

“Kami juga ada senjata kami dan akan cuba beraksi dengan gaya sendiri. Kami akab cuba melakukan sesuatu yang baharu,” katanya lagi.

Jika Real turun dengan reputasi sebagai juara Eropah 11 kali, Atletico pula masih memburu kejuaraan pertama. - AGENSI

SEPARUH AKHIR PERTAMA

RABU

REAL MADRID lwn ATL. MADRID

(siaran langsung di Astro 816/834, 2.45 pagi)

KHAMIS

MONACO lwn JUVENTUS

(siaran langsung di Astro 816/834, 2.45 pagi)