Selain penampilan semula bekas penyerang skuad itu pada 2014 dan 2015, Dickson Nwakaeme, Pahang juga menerima kehadiran penyerang dari Brazil, Jose Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, Nwakaeme yang terkenal jolokan 'orang besi' telah turun menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh petang semalam.

"Ze Love pula masih lagi berehat kerana beliau menempuhi perjalanan yang jauh iaitu hampir 24 jam dari Brazil.

"Kita beri sedikit masa kepada Ze Love untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini sebelum beliau hadir untuk menjalani latihan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohammed Suffian berkata, Ze Love merupakan seorang penyerang dan pernah beraksi bersama bintang Brazil, Neymar Jr selama dua musim pada 2010 dan 2011 ketika bermain untuk pasukan Santos.

"Sekiranya semua berjalan lancar, Nwakaeme dan Ze Love akan mengemudi jentera serangan pasukan Pahang untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini," ujarnya.

Beliau memberitahu, Dollah akan menilai prestasi kedua-dua penyerang import itu sebelum dibenarkan menyertai Tok Gajah.

"Pasukan kita belum lengkap lagi kerana dua kouta import masih kosong dan berharap agar kedua-dua pemain ini akan menjadi pilihan Dollah," jelasnya. - UTUSAN ONLINE