Kapten Harimau Malaya itu juga berkata, prestasi yang dipamerkan oleh Shahrel Fikri ketika Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan persahabatan kelmarin mampu menjadi pemangkin kepada prestasi pasukan kebangsaan.

“Adalah bagus untuk sesuatu pasukan memiliki pilihan pemain yang ramai. Saya rasa setiap pemain ada kelebihan masing-masing, ini merupakan sesuatu yang positif dan persaingan sihat untuk pasukan.

“Sharel ada kelebihannya sendiri dan begitu juga dengan pemain-pemain yang lain. Saya sangat berterima kasih kepada Sharel kerana dengan pengalaman yang dia ada dalam Liga 1 Thailand, dia dapat membawanya ke dalam skuad kebangsaan. Kita juga dapat mempelajari sesuatu daripada dia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam semalam.

Malaysia yang tewas 0-2 dalam perlawanan persahabatan pertama menentang Taiwan di Taipei pada Jumaat lalu, bangkit menewaskan Kemboja 3-1 di Phnom Penh pada Isnin untuk mencatatkan kemenangan pertama Malaysia di tempat lawan sejak menewaskan New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016.

Sharel yang kini beraksi dengan kelab Nakhon Ratchasima, muncul wira Harimau Malaya di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh itu, apabila menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan dua lagi gol.

Mengulas mengenai dua perlawanan persahabatan itu, Mohd. Zaquan berkata pertemuan itu membantu pemain untuk mengenali satu sama lain dan mendapatkan keserasian di antara mereka dalam persediaan untuk menghadapi Piala AFF pada November ini.

“Saya berharap dalam dua perlawanan persahabatan yang kita hadapi ini, kita dapat belajar sesuatu yang positif. Harap kemenangan dengan Kemboja ini beri suntikan semangat untuk kita bawa ke dalam Piala AFF nanti,” kata pemain Kuala Lumpur itu.

Malaysia dijadualkan untuk bermain dalam tiga lagi perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF bermula, iaitu menentang Sri Lanka di Colombo pada 8 November, kemudian menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka (12 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 November).