Pahang membuka tirai musim ini dengan pulang hampa dari Johor Bahru setelah kalah kepada juara musim lalu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi sulungnya, yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah bulan lalu.

Selangor juga kecundang di tempat lawan apabila berhadapan dengan Terengganu dan nasib kelihatan tidak menyebelahi mereka dalam undian perlawanan kerana terpaksa berkelana buat kali kedua berturut-turut, kali ini ke Kuantan.

Bagi Pahang perlawanan menentang Selangor pada Sabtu ini di laman sendiri adalah peluang terbaik untuk menebus kekalahan lalu kerana kemenangan pasti dapat mengembalikan semula keyakinan pemain selain penyokong terhadap mereka.

Pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan mengakui dia tidak sanggup untuk melihat pasukannya menerima kekalahan kedua berturut-turut, apatah lagi jika diaibkan di halaman sendiri.

“Saya tidak akan memberi ruang kepada Selangor untuk mengutip mata. Ini merupakan masa terbaik untuk kami meraih kemenangan pertama pada musim ini dan mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap Pahang.

“Kami mempunyai kelebihan dengan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan ini adalah peluang keemasan kami untuk menebus kekalahan yang lalu. Saya harap penyokong Pahang dapat hadir ke stadium dan terus memberikan sokongan kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi telefon semalam.

Bagi memastikan pasukannya benar-benar bersedia untuk membenam Red Giants, Zainal telah menambah tugasan dalam latihan untuk anak-anak buahnya selepas menyedari kelemahan mereka mengekang set piece ketika bertemu JDT apabila pihak lawan mendapat dua gol menerusi sepakan sudut.

“Saya dah cakap dengan pemain mengenai kelemahan kami dan telah memberi penekanan dalam sepakan sudut agar kesilapan yang sama tidak berulang,” katanya.

Meskipun Zainal mengetahui Selangor berkemungkinan hilang tonggak utama mereka Andik Vermansah gara-gara masalah kecederan dia tidak menganggap ketiadaan pemain dari Indonesia itu memberi kelebihan buat Pahang.

“Pada saya sekiranya Andik tak main pun tidak memberi kelebihan kepada kami sebab Selangor bukan pasukan yang boleh diambil mudah. (Oleh itu) sama ada dia beraksi atau tidak kami tetap fokus dalam pertemuan itu nanti,” katanya.

Andik berkemungkinan tidak dapat beraksi dalam perlawanan menentang Pahang selepas mengalami kecederaan di kaki kiri akibat menerima terjahan keras sewaktu menentang Terengganu minggu lalu.

Pahang juga masih belum dapat menurunkan pemain sayap mereka Azamuddin Mohd. Akil yang mengalami kecederaan lutut.