Tanpa berselindung Yusri berkata, dia kecewa dengan persembahan itu yang seolah-olah tidak menggambarkan corak permainan sebenar ketika dibawah bimbingannya sebelum ini.

Katanya menerima lamaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) disebabkan oleh karekter yang ada dalam setiap diri barisan pemain Kelantan.

“Ini bukan aksi mereka (kalah 2-5 kepada Negeri Sembilan), jika pemain terus dengan sikap itu pasukan tidak akan ke mana-mana dalam sainga Liga Perdana.

“Jadi lebih baik saya berundur. Buat apa saya nak jahanamkan reputasi dengan jika prestasi pasukan berada dalam keadaan begini,” katanya.

Yusri memberitahu, dia mahu barisan pemain Kelantan mengubah mentaliti tersebut dan kembali ke persembahan sebenar.

Katanya, tempoh masa yang ada sebelum pertemuan dengan Pulau Pinang Jumaat ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Saya harap pemain menjadikan kekalahan ini sebagai peringkatan untuk bangkit,” ujarnya.

Pada perlawanan itu Kelantan dirundung ‘malapetaka’ apabila tumbang 2-5 ditangan Negeri Sembilan malam tadi.

Gol-gol kemenangan Hoben Jang Hoben dihasilkan menerusi hatrik anak jati Kelantan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir (minit ke-12, 43 dan 50) Jose Barros Neto (minit ke-54) dan Mohammad Ridzuan Abdunloh (minit ke-56).

Sementara gol saguhati Kelantan disumbangkan oleh Flavio Beck Junior (minit ke-15) dan Muhammad Hakimi Abdullah (90+1). - UTUSAN ONLINE