Tanpa berselindung, Yusri menghamburkan pujian kepada penjaga gol vateran itu yang disifatkan mempamerkan aksi luar biasa menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

"Kalau ditulis kehebatan Mat Chah (Mohd. Shahrizan) saya rasa banyak yang boleh diperkatakan tentang sumbangan pemain ini.

"Saya cukup berterima kasih dan mengharapkan keadaan sama berulang pada pertemuan dengan Kedah Jumaat ini," katanya.

Mohd. Shahrizan muncul wira TRW apabila menampan keluar sepak penalti Sadro Da Silva pada minit akhir pelawanan untuk menghalang Kedah meraih mata pada perlawanan tersebut.

Sebelum itu, tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi sepakan penalti Paulo Rangel selepas pemain dari Brazil itu dikasari di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun pada babak kedua, skuad TRW bangkit menyamakan kedudukan menerusi Nik Azli Nik Alias pada minit ke-55, sebelum Muhammad Danial Ashraf Abdullah menjaringkan gol kemenangan, tiga minit berselang. - UTUSAN ONLINE