Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, dia tetap berbangga dengan kesungguhan yang diperagakan oleh barisan pemainnya walaupun mereka tidak beraksi dengan baik.

“Saya tidak tahu mana datangnya tenaga pemain Kelantan pada perlawanan itu termasuklah Cristiano Santos yang telah mempamerkan semangat juang tinggi.

“Hasilnya mereka telah menunjukkan satu tanggugjawab yang tinggi kepada pasukan dengan menyerap segala tenakan berdepan JDT dan akhirnya kita mencapai kemenangan yang sangat bermakna,” katanya.

Pada perlawanan itu, tuah nyata bersama Kelantan apabila memperoleh sepakan penalti pada penghujung babak pertama selepas Muhammad Imran Samso dijatuhkan oleh Marcos Antonio.

Cristiano Santos yang mengambil sepakan itu tenang menyempurnakan tugas untuk menewaskan penjaga gawang JDT Mohd. Farizal Marlias sekaligus menamatkan kemarau jaringan selama 810 minit sejak menyertai TRW Mei lalu.

Bagaimanapun, kemenangan Kelantan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila dua tonggak pasukan itu diperintahkan keluar padang selepas masing-masing menerima kad kuning kedua pada masa-masa kecederaan pada babak kedua.

Kedua-dua tonggak tersebut ialah pemain pertahanan Muhammad Daniel Hakim Deraman dan penyerang, Santos.

Yusri memberitahu, kemenangan itu sedikit sebanyak membuka peluang buat pasukannya untuk memasang impian mara ke pusingan kedua selepas seri dan kalah pada dua perlawanan sebelum ini.

Katanya, dia berharap pemain Kelantan terus kekal fokus untuk mengharungi perlawanan seterusnya selepas sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.

“Kemenangan ini memberi keceriaan seketika namun kehilangan dua tonggak (layangan kad merah) agak menggusarkan kita untuk bertandang ke Larkin nanti

“Saya nampak pemain ingin lakukan sebaik mungkin kerana nilai perlawanan ini cukup berharga terutama kita telah tewas kepada MISC-MIFA sebelum ini.

“Tidak tidak ada seiapa memberi keyakinan kepada pasukan untuk mendapat mata akhirnya, kita mampu lakukan kejutan. Saya syukur diatas kejayaan ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE