Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa memaklumkan bahawa bekas pemain kebangsaan itu menandatangani kontrak setahun pada hari ini, dan keputusan sama ada khidmat Yusri dikekalkan bergantung kepada pencapaian skuad warga kota pada saingan awal Liga-M, musim hadapan.


"Kita melantik beliau setelah melihat pencapaian memberangsangkan yang dicapai beliau bersama Kelantan, terutamanya dengan kemasukan beberapa pemain muda yang diserapkan oleh beliau ke dalam skuad Liga Super Kelantan pada musim ini," kata Nokman ketika dihubungi Bernama, hari ini.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan KLFA mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada untuk musim hadapan, namun tidak menyambung kontrak beberapa pemain yang dilepaskan kepada pasukan lain.


Nokman pada masa sama turut mengesahkan bekas penyerang Bali United, Sylvano Comvalius dari Belanda menjadi pemain import terbaharu yang bakal memperkuatkan skuad warga kota pada musim hadapan.


"Beliau akan digandingkan dengan empat pemain import kita yang dikekalkan untuk saingan Liga Malaysia pada musim hadapan dan kita sedang mencari seorang lagi pemain import untuk bahagian pertahanan," jelas Nokman.


Untuk rekod, Kuala Lumpur menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super 2018, selain mara sehingga ke peringkat suku akhir Piala FA.


Pasukan berkenaan, bagaimanapun gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018.- BERNAMA