United bermula perlahan sehingga membolehkan Ajax mencipta gerakan lebih berbahaya pada babak pertama apabila Siem de Jong hampir membuka jaringan menerusi percubaan jarak jauh namun dinafikan David de Gea.

Pengurus United, Alex Ferguson berkata: “Keputusan ini lebih baik daripada prestasi malam ini.

“Saya membuat beberapa perubahan dalam pasukan dengan Young, Nani dan Jones, namun ia mengecewakan apabila melihat aksi babak pertama.”

Juara Liga Perdana Inggeris itu mencipta tiga peluang gol selepas rehat dan Young akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-58 apabila menyambar hantaran silang Nani dan mengelecek pemain pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Kenneth Vermeer menerusi sepakan rendah.

Menerusi serangan balas lima minit sebelum perlawanan berakhir oleh Antonio Valencia dan Wayne Rooney, membuka ruang buat Hernandez memastikan kemenangan selesa buat United yang pertama kali beraksi dalam Liga Europa.

“Kami tidak beraksi pada permainan sebenar manakala Ajax juga membuatkan kami lebih sukar dengan sistem yang mereka gunakan.

“Namun saya tidak boleh merungut dengan kemenangan 2-0 di padang lawan dalam Liga Europa,” tambah Ferguson. – REUTERS