Yakult merupakan penaja yang bertanggungjawab membawa skuad B-19 negara menyertai dua edisi Piala Sanix di Jepun bermula tahun lalu.

Kejohanan itu memberikan pendedahan yang sangat berguna buat skuad remaja negara sehingga terbentuknya pasukan mantap dengan meraih kejuaraan Piala AFF B-19 tahun lalu di Indonesia.

Menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), penyertaan skuad remaja negara dalam Piala Sanix mendedahkan pemain dengan corak permainan pantas kelab-kelab Jepun.

“Mengenai tajaan kepada FAM, syarikat kami memberikan sokongan penuh kepada pemain muda termasuk B-17 dan B-23. Setakat ini, salah satu kejohanan terbesar adalah Piala Sanix.

“Kita akan membawa skuad negara sekali lagi ke Jepun sebagai persiapan menjelang kejohanan AFF B-19,” kata pengarah urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada.

Bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan trofi AFF B-19, Yakult bercadang untuk membawa skuad negara sekali lagi ke Jepun sebagai persiapan terakhir sebelum kejohanan. - UTUSAN ONLINE