Semalam, MFL mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) yang ditandatangani untuk lapan tahun bermula 2018 hingga 2025 dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM480 juta.

Keputusan tersebut dibuat selepas kegagalan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu menjelaskan bayaran penajaan musim ini berjumlah RM60juta bagi diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun keputusan menamatkan kontrak TM itu cukup berat namun beliau percaya pengurusan MFL yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam mampu untuk mendapatkan penaja baharu dalam masa terdekat.

“Kita faham dalam bola sepak ini memerlukan kewangan untuk menaja pasukan bagi menguruskan semua perkara termausk pengurusan pasukan dan liga.

“Sudah tentu kewangan ini penting dan seperti kita sedia maklum, segala usaha akan dijalankan untuk mencari potensi penaja baharu.

“Kita harap dalam sebulan atau sebulan lebih ini akan dapat penaja baru sekaligus menampung ketiadaan TM. Jadi saya harap sekretariat (MFL) dan yang lain semua akan berusaha dapatkan tajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL kali ke-14 di sini, semalam. - UTUSAN ONLINE