Bagaimanapun, jurulatih sementara United itu berkata penyingkiran tersebut memberi mereka ruang untuk kembali beraksi dalam perebutan tempat empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selain mempersiapkan pasukan menghadapi Barcelona pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

Wolves hanya memerlukan enam minit untuk mencipta dua gol pada babak kedua menerusi jaringan Raul Jimenez dan Diogo Jota dan gol tunggal United dijaringkan oleh Marcus Rasford ketika permainan memasuki masa tambahan.

Itu merupakan kekalahan kedua dalam 18 perlawanan sepanjang Solskjaer mengambil alih pasukan darpada Jose Mourinho pada Disember lalu dengan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan Piala FA.

“Hari ini (semalam) merupakan persembahan terburuk kami sejak saya berada di sini.

“Kami mengambil langkah ke belakang. Kami berasa terlalu selesa dengan penguasaan bola dan kami tidak meletakkan lawan di dalam tekanan atau mengasak pertahanan mereka,” kata Solskjaer.

Bagaimanapun Solskjaer menyampaikan mesej positif kepada penyokong

“Kami berada di posisi yang bagus dalam liga. Kami masih berada dalam saingan Liga Juara-Juara. Anda tidak boleh merajuk terlalu lama. Kami menghadapi banyak perlawanan. Kami tidak sabar menanti cabaran daripada Barcelona,” katanya lagi.

Dalam pada itu, jurulatih Wolves, Nuno Espirito Santo gembira apabila melihat pasukannya mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.

“Sudah pasti ia memberi banyak makna. Piala FA merupakan kejohanan tertua dan kami bermain dengan baik. Kami berjaya melakukannya kerana sokongan padu daripada penyokong dan mereka menaruh kepercayaan kepada kami,” katanya lagi. - AFP