West Brom, yang dibim­bing Darren Moore, mengharap­kan pertembungan antara Southampton dan Swansea di selatan Wales berkesudahan dengan keputusan seri untuk membolehkan mereka meng­elak daripada tersingkir dalam perlawanan terakhir musim ini pada Ahad.

Selepas lebih 70 minit pertarungan berlangsung, pemain gantian Manolo Gabbiadini menghasilkan jaringan yang ditunggu-tunggu untuk Sout­hampton setelah dia bertindak pantas menolak bola ke pintu gol hasil hantaran Charlie Austin.

Gabbiadini baru em­pat minit berada di dalam padang dan jaringan tersebut merupakan gol kelima buat pemain dari Itali itu musim ini.

Kemenangan tersebut bermakna Southampton mendaki ke anak tangga ke-16 dalam carta liga, berkelebihan tiga mata berbanding Swansea yang menghuni tempat ke-18.

Keputusan itu juga me­nyaksikan kelab Wales tersebut menjadi pilihan untuk menyertai West Brom dan Stoke turun ke Liga Kejuaraan.

Kejayaan yang dicatat Sout­hampton mengesahkan West Brom kembali ke divisyen dua selepas lapan musim di dalam liga utama itu, dengan tempat kelapan merupakan keputusan terbaik pernah dicatat Baggies pada musim 2012/13 sewaktu Steve Clarke menerajui kelab tersebut. – AFP