Liverpool kelihatan akan pulang dengan tiga mata selepas Danny Ings dan Mohamed Salah meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 2-0.

Jaringan Ings pada minit keempat adalah gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris sejak Oktober, 2015, manakala Salah meledak gol ke-31 musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai penjaring terbanyak.

Begitupun, West Brom yang masih segar dengan kejayaan mengejutkan Manchester United 1-0 di Old Trafford, Ahad lalu jelas enggan mengaku kalah.

Jake Livermore memberi harapan kepada mereka dengan merapatkan jurang hasil sepakan penjuru pada minit ke-79.

Ketika saingan berbaki dua minit untuk ditamatkan, Liverpool bergelut untuk mengekalkan kelebihan apabila Salomon Rondon menanduk gol penyamaan tuan rumah.

West Brom bagaimanapun masih kekal di tangga tercorot liga dengan 25 mata, tiga mata di belakang Swansea yang menjadi pasukan terakhir berada di zon selamat.

Tiga pasukan tercorot liga akan tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan. - AGENSI