Wenger membuat pengumuman itu selepas melihat pasukannya dimalukan dengan kekalahan 3-1 kepada West Brom semalam, dengan memberitahu dia telah membuat keputusan sama ada untuk kekal atau tidak bersama Arsenal apabila kontraknya tamat pada akhir musim ini.

Perlawanan di Stadium Hawthorns dicemari dengan perbuatan sekumpulan penyokong menghamparkan kain rentang bertulis ‘Wenger Out’ (Wenger Keluar), sambil melaungkan ejekan anti-Wenger.

Malah terdapat pesawat yang melintasi stadium tersebut de­ngan membawa kain rentang bertulis ‘No Contract #Wenger Out’ (tiada kontrak #Wenger keluar). Ini diikuti satu lagi pesawat lain yang membawa kain rentang pro-Wenger bertulis ‘In Arsene we trust #RespectAW’ (Kepada Wenger kami letakkan kepercayaan #HormatAW).

Wenger kemudian terus mene­rima desakan daripada penyokong apabila mereka melaungkan kata-kata ‘you don’t know what you’re doing’ (anda tidak tahu apa yang anda lakukan) pada penghujung perlawanan.

Wenger sebelum ini berkata dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya sebelum akhir musim ini, namun berita terbaharu itu mungkin menyaksikan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya tahu apa yang akan saya lakukan demi masa depan saya. Anda akan tahu nanti... dalam masa terdekat. Anda akan lihat. Hari ini saya tidak begitu bimbang mengenainya. Kami berada dalam keadaan yang buruk yang tidak pernah kami lalui dalam tempoh 20 tahun.

“Kami tewas satu demi satu perlawanan dan bagi saya itu jauh lebih penting daripada masa depan saya,” katanya.

Tekanan ke atas Wenger, yang mengendalikan Arsenal sejak 1996 berada di kemuncaknya selepas pasukannya disingkirkan dengan agregat besar 10-2 oleh Bayern Munich dalam kempen Liga Juara-juara. Kekalahan kepada West Brom menyaksikan mereka ketinggalan lima mata daripada perebutan tempat empat teratas liga.

Sementara itu, Wenger memberitahu, dia tidak memberikan perhatian sewaktu penyokong mengkritiknya mahupun peristiwa pesawat membawa kain rentang, sebaliknya kekal fokus terhadap pasukannya, yang tewas kepada dua gol daripada Craig Dawson dan Hal Robson-Kanu pada babak kedua. – AFP