Bekas bos Arsenal itu tidak me­nyandang sebarang jawatan sejak dia menamatkan perkhidmatan selama 22 tahun bersama Gunners.

“Saya percaya akan kembali bertugas pada 1 Januari ini,” kata Wenger kepada SportBILD, baru-baru ini.

Perkembangan terbaru, menurut media Perancis France Football, Wenger sedang berunding untuk mengambil alih tugas di Milan. Kelab itu terdesak untuk cuba kembali ke dalam kancah Liga Juara-juara, tetapi keputusan yang dicatat mereka ketika ini sama sekali di luar jangkaan pelabur Elliott Management Corporation.

Hartawan dan pemilik Elliott Ma­nagement Corporation, Paul dan Gordon Singer berminat untuk menggantikan Gennaro Gattuso dengan warga Perancis itu. Gattuso mengambil alih tugas daripada Vincenzo Montella pada November 2017 dan kontraknya disambung April tahun ini.

Kedua-dua pemilik AC Milan itu juga merupakan penyokong Arsenal dan berhasrat membawa Wenger bagi membantu mengubah masa depan kelab. Baru-baru ini, Milan melantik Ivan Gazidis yang pernah bekerja de­ngan Wenger sewaktu dia menyandang jawatan Ketua Eksekutif Arsenal.

France Football memberi indikasi bahawa rundingan yang berjalan semakin hampir termeterai, dengan beberapa sumber memberitahu perjanjian telahpun ditandatangani. Wenger menewaskan Milan dalam Liga Europa musim lepas sewaktu bersama Gunners.

Rossonerij yang berusaha untuk memburu slot ke Liga Juara-juara, kini berada di kedudukan keempat dan berkongsi 21 mata dengan Lazio. Bagaimanapun mereka berada 10 mata di belakang pendahulu Juventus. – AGENSI