Pujian itu dilontarkan Pochettino menjelang pertemuan menentang Arsenal, esok.

Pengendali Argentina itu memiliki rekod enam perlawanan tanpa kalah menentang Arsenal sejak berhijrah dari Southampton pada 2014 dan pada musim lalu Tottenham menamatkan saingan di atas Arsenal dalam saingan liga buat kali pertama dalam 22 tahun.

Tottenham yang kini berada di kedudukan ketiga memiliki kelebihan empat mata mengatasi Arsenal dan menolak kritikan yang dilemparkan terhadap pengendali Perancis dalam kempen musim ini.

“Dalam sejarah bola sepak, dia antara pengendali terhebat sama seperti (bekas pengendali Manchester United, Alex) Ferguson.

“Dia akan sentiasa menjadi pengurus istimewa. Untuk mengekalkan motivasi lebih daripada tiga tahun sangat sukar. Lima tahun, awak memang hebat dan awak sangat hebat jika berjaya bersama kelab lebih daripada 10 tahun.

“Sungguh luar biasa apabila mencecah angka 20 tahun. Sesiapa yang melontarkan kritikan kepadanya perlu menghormatinya. Ada masa kita sangat hebat, kadang kala keadaan tidak menyebelahi kita tetapi sikap hormat itu perlu ada,” kata Pochettino.

Pochettino belum memenangi sebarang trofi bersama Tottenham manakala Wenger sudah meraih tiga trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, yang kali terakhir dimenanginya pada 2004 dan tujuh Piala FA bersama Arsenal walaupun terlepas aksi Liga Juara-Juara, musim ini. – REUTERS