Wenger berkata, Arsenal kini sedang bergelut untuk mendapatkan semula kepercayaan penyokongnya yang semakin ramai tidak datang ke stadium termasuk ketika menewaskan Watford 3-0, semalam.

Boleh dikatakan, tempat duduk penonton agak kosong sejak dua perlawanan lalu di Stadium Emirates sebagai simbolik kemarahan dan kekecewaan penyokong Arsenal terhadap satu lagi musim yang menghampakan.

Wenger bagaimanapun, memahami situasi itu dan tidak menyalahkan penyokong, sebaliknya dia yang sedang bergelut untuk kekal di Emirates bersedia mengembalikan apa yang telah hilang.

“Terlalu banyak perkara negatif. Ia seperti hujan yang kerap turun di England dan mudah dibasahi masalah. Sudah tentu saya bimbang kerana saya mahu penyokong kami sentiasa berada di belakang dalam keadaan macam mana sekalipun.

“Tetapi selepas apa yang berlaku, ia memang mudah difahami. Namun, kami masih mahu penyokong terus berada di belakang dan kami bersedia melakukan apa sahaja untuk mencapainya,” kata Wenger yang turut menghormati pandangan penyokong termasuk mendesaknya meletakkan jawatan.

Ternyata penyokong Gunners terlepas peluang menyaksikan jaringan menarik yang disempurnakan Shkod­­ran Mustafi, Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan untuk mengakhiri kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan liga domestik sebelum ini.

Bagaimanapun, dapat difahami mengapa sam­butan dingin terus diberi terhadap Arsenal kerana kemenangan tersebut tidak memberikan sebarang perubahan kepada kedudukan pasukan untuk melonjak ke dalam kelompok empat terbaik, malah sebaliknya ia sekadar melengkapkan jadual sebelum musim ini berakhir. – AFP