Sambil memuji anak buah­nya yang bermain penuh semangat, pengendali dari Perancis itu mengakui, ia satu kemena­ngan cukup penting selepas satu demi satu kekalahan menimpa Arsenal sebelum ini.

“Sudah tentu ia satu kemenangan penting selepas melalui mimpi ngeri selama seminggu. Saya gembira dengan sema­ngat dan kebangkitan yang kami tunjukkan. Jika kita tumbang se­perti seorang petinju, tiada masa untuk kita berehat, sebaliknya kena bingkas bangun dengan segera.

“Semua pemain telah me­nunjukkan kesungguhan dan maruah yang tinggi dalam mempamerkan permainan berkualiti sepanjang perlawanan ini,” kata Wenger yang berdepan kemungkinan dipecat jika kalah lagi.

Sebelum ini, Arsenal kalah dua kali kepada Manchester City dalam final Piala Liga dan aksi liga domestik selain dikejutkan Brighton 1-2 minggu lalu. Rentetan kekalahan itu menyebabkan penyokong Arsenal mendesak agar Wenger dipecat serta merta.

Namun, hari ini, Arsenal mempamerkan per­­mainan berbeza de­ngan Henrikh Mkhitaryan membuka jaringan seawal minit ke-15 sebelum Aaron Ramsey menggandakannya sebelum babak pertama berakhir. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam tempoh tujuh hari lagi di Stadium Emirates.

Sementara itu, dalam lain-lain perlawanan, Borussia Dortmund tewas mengejut 1-2 di tangan kelab Austria, Salzburg walaupun cuba bangkit daripada ketinggalan menerusi ja­ringan Andre Schurrle di peng­hujung babak kedua.

Manakala Atletico Madrid tidak menghadapi masalah besar me­nundukkan Lokomotiv Moscow 3-0 di laman lawan hasil jaringan Saul Niguez, Diego Costa dan Koke. – AFP