Pengendali Red Giants, ­B. Sathianathan berkata, kedua-dua pemain dipilih kerana memiliki kemahiran kawalan bola kemas dan khidmat mereka diperlukan bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.

“Saya pilih mereka disebabkan suka kepada pemain yang suka menyimpan bola dan kemahiran itu adalah pada mereka.

“Saya sebenarnya ragu-ragu dengan pemain tempatan disebabkan kualiti mereka kerana hala tuju pasukan sebenarnya bergantung kepada pemain tempatan.

“Mengenai pemain import, Rufino (Sefovia) akan dikekalkan dan saya boleh sahkan bahawa kami akan guna kuota empat pemain import,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Sementara itu, kerjasama tersebut merupakan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mengkaji secara mendalam aspek sains sukan, pemakanan, pemulihan, kecergasan dan pe­rihal akademik setiap pemain.

Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin berkata, kerjasama itu dilihat bakal menguntungkan FAS dan UiTM memandangkan Selangor bakal menikmati peningkatan prestasi pemain.

“Antara beberapa aspek yang dikenalpasti penting dalam pembangunan pemain bola sepak adalah aspek fizikal, rehabilitasi, nutrisi, analisis prestasi serta psikologi sukan.

“Kerjasama berterusan dalam aspek itu akan memberi asas lebih kukuh kepada pemain seterusnya membolehkan Sela­ngor untuk lebih kompetitif.

“Saya optimis dengan prospek kerjasama ini dan percaya ia antara langkah penting dalam merealisasikan misi dan visi saya menjadikan Selangor sebuah pasukan digeruni dalam negara dan rantau ini,” katanya.

Selain itu jalinan kerjasama itu juga membolehkan pemain Selangor melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma dan ijazah secara formal tanpa perlu mengorbankan kerja profesional mereka.