Pengumuman tersebut sekali gus menjawab teka-teki Syazwan, yang turut dikenali sebagai Wan Karpet berhubung keputusannya untuk berhijrah dari Kedah setelah lima tahun bersama skuad Lang Merah.

“Syazwan telah melengkapkan perpindahan dari Kedah dengan menandatangani kontrak untuk bersama Selangor.

“Syazwan yang berasal dari Perlis, lahir pada 13 November 1989, kini berumur 28 tahun, merupakan seorang pemain sayap yang berpengalaman dan berprofil tinggi di Liga Malaysia.

“Dia memulakan karier bola sepak dari peringkat belia lagi di Sekolah Sukan Bukit Jalil, kemudian menyertai Belia Perlis, sebelum dipanggil mewakili Harimau Muda.

“Pada tahun 2010, Syazwan menyertai Felda United dari pasukan negeri kelahirannya, sebelum berhijrah ke Johor FC pada tahun 2012.

“Dia kembali ke Felda United untuk musim 2013 sebelum menjadi tunjang kekuatan Lang Merah selama beberapa musim, yang mana perpindahan itu telah banyak mengangkat karier bola sepaknya.

“Syazwan tampil dalam lebih 80 perlawanan bagi pasukan Kedah dan telah berjaya menjaringkan 9 gol. Dia pernah bersama membantu pasukan Kedah memenangi Liga Premier pada tahun 2015, Piala Malaysia 2016, Piala Sumbangsih 2017 dan Piala FA 2017,” lapor faselangor.my.

Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, sebagai memetik laporan tersebut kehadiran Syazwan merupakan bukti komitmen persatuan untuk menguatkan barisan Red Giants bagi musim hadapan.

“Ini kerana kebolehan Syazwan untuk menggunakan kedua-dua belah kaki selain mempunyai kualiti serangan dan pertahanan yang baik,” ujarnya.

Syazwan kini berada di Phnom Penh bersama Harimau Malaya untuk mengharungi aksi pembukaan Piala AFF 2018 menentang Kemboja di Stadium Olimpik, esok.- UTUSAN ONLINE