Penyokong Three Lions kini di tahap keyakinan tertinggi selepas membelasah Panama 6-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan G, Ahad lalu.

England juga memulakan kempen dengan menewaskan Tunisia 2-1, hasil dua jaringan Harry Kane dalam perlawanan yang menyaksikan Walker menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Ujian terbesar England hanya tiba pada Jumaat ini (pukul 2 pagi waktu Malaysia) apabila mereka berdepan Belgium untuk menentukan juara kumpulan.

Wenger, yang kini menjadi pengulas untuk beIN Sports bimbang sekiranya Southgate terus meletakkan Walker di posisi bek tengah kerana menganggap pemain itu berisiko melakukan kesilapan.

“Dia bukan pertahanan tulen, terutama untuk memainkan peranan di posisi bek tengah.

“Dia mudah melakukan kesilapan pertahanan, berbanding apabila bermain di posisi kanan,” kata Wenger.

Eric Dier, yang belum membuat penampilan dalam kejohanan itu meskipun terkenal sebagai pemain serba boleh, mampu mengisi posisi pertahanan tengah, bek kanan atau kiri, selain bahagian tengah.

Wenger turut mempersoalkan mengapa Southgate masih belum menurunkan bintang Tottenham berusia 24 tahun itu.

“Dia boleh bermain di pertahanan tengah atau membantu bahagian tengah. Saya tidak tahu mengapa dia tidak digunakan,” katanya.

England yang sudah melangkah ke peringkat kalah mati akan bertemu sama ada Jepun, Senegal atau Colombia dalam pusingan seterusnya. - AGENSI