VjQyZkBj

KUALA LUMPUR 19 April – Lima pemain muda terbaik Malaysia berpeluang menimba ilmu di kelab Jepun, Cerezo Osaka menerusi Projek Impian ASEAN 2019 yang akan berlangsung di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 23 Jun 2019.

Selain di Malaysia, projek tersebut yang mendapat kerjasama daripada penaja Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM), Yakult (M) Sdn. Bhd. bersama Cerezo serta Stesen Televisyen Osaka itu juga akan dilakasanakan di Jepun pada pertengahan Ogos nanti.

Program tersebut merupakan edisi kedua, yang mana pemain bertuah akan dibawa ke Jepun bagi menjalani latihan di sana selain memberi peluang kepada mereka beraksi bersama 10 lagi bakat dari Thailand dan Myammar.

“Ada permintaan dari pemain Malaysia yang telah beraksi tahun lepas agar program ini diadakan sekali lagi di sini. Oleh sebab itu kami mengadakan semula Projek Impian ASEAN untuk tahun ini.

“Saya amat berharap pemain yang telah tamat menjalani program ini, mereka akan dapat pergi lebih jauh.

“Mereka juga boleh beraksi di Liga Profesional Jepun, bukan sekadar di Cerezo Osaka sahaja memandangkan ada pencari bakat yang sering memburu bakat terbaik dari Malaysia” kata Presiden Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program tersebut sambil berharap ia bermanfaat demi masa depan bola sepak Malaysia.