VjQyZkBj

MELAKA 19 April - Pengurus pasukan bola sepak wanita Melaka United, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah tanpa berselindung mengaku mahu gelaran juara Piala Tun Sharifah Rodziah edisi 2019 menjadi milik pasukan kendaliannya.

Beliau berkata, keyakinan itu diletakkan berdasarkan kekuatan skuadnya kali ini yang hampir keseluruhan dibarisi oleh pemain kebangsaan dan bersedia untuk menghadapi saingan yang bermula 20 April ini di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.

"Pada edisi kali ini kita telah berjaya mengumpul lebih ramai pemain berpengalaman dari Sabah setelah skuad negeri itu tidak mengambil bahagian pada tahun ini.

“Keserasian antara pemain juga antara faktor penting dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat kerana mereka selalu berlatih dan bermain bersama dalam kem kebangsaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Pemain Pasukan Wanita Melaka United di Stadium Hang Jebat di sini, hari ini.

Katanya, kelebihan yang dimiliki Melaka United itu memberi keyakinan tinggi kepada mereka untuk menebus kekecewaan pada edisi lalu selepas sekadar bergelar naib johan setelah tumpas kepada Kedah.

Sementara itu, ketua pasukan, Shereilynn Elly Pius berkata, Melaka United berpotensi untuk memenangi piala tersebut dengan persediaan rapi dilakukan walaupun mempunyai tempoh singkat.

Kapten pasukan wanita kebangsaan itu berkata, pasukannya dilihat tidak mempunyai masalah untuk mencari persefahaman kerana rata-rata mereka bermain bersama dalam skuad negara.

"Penyertaan dalam kejohanan ini juga sebahagian persiapan untuk mempertingkatkan lagi prestasi bagi menghadapi Kejohanan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada Julai ini di Bangkok, Thailand, selain, Sukan SEA di Filipina Disember nanti," katanya. - BERNAMA