Bagaimanapun, beliau secara jujur berkata pemain-pemain itu hanya akan digunakan untuk membantu skuad senior menghadapi dua perlawanan penting pada Oktober depan termasuk menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala AFC 2019 di tempat lawan.

Jurulatih dari Portugal itu berkata, beliau terpaksa melupakan hasrat memanggil beberapa pemain daripada skuad itu sebelum ini kerana tidak mahu mengganggu tumpuan mereka terhadap Sukan SEA namun beliau percaya pemain tersebut juga bersedia untuk dipanggil menyarung jersi skuad senior.

”Sudah pasti saya mengikuti perkembangan mereka sepanjang temasya itu. Saya turut menghadiri sesi latihan mereka namun ketika perlawanan akhir saya hanya sempat melihat perlawanan menerusi televisyen kerana berada di Myanmar untuk perlawanan persahabatan.

”Melihatkan komitmen yang diberikan oleh mereka, saya percaya kita mempunyai pilihan dan penyelesaian terbaik untuk melengkapkan skuad kebangsaan dalam perlawanan seterusnya.

”Saya tahu mereka juga telah bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa, namun memanggil mereka untuk menghadapi perlawanan kedua Kumpulan B bertemu Hong Kong Selasa ini, adalah tidak adil kepada pemain-pemain lain yang telah berada dalam latihan pusat sejak tiga minggu lalu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Hang Tuah, semalam.

Pemain tengah skuad Sukan SEA, Matthew Davies merupakan pemain dari skuad senior manakala penjaga gol Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim juga beberapa kali menyertai latihan skuad utama sebelum kedatangan Vingada.

Mengulas lanjut, Vingada berkata, keputusan untuk memberikan peluang kepada beberapa pemain yang dilihat menyinar ketika membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke perlawanan akhir Sukan SEA 2017 itu turut bergantung kepada penilaiannya bersama barisan kejurulatihan.

Ditanya mengenai pemain yang berada dalam radar beliau, Vingada hanya memuji dan melahirkan rasa gembira dengan pencapaian dan prestasi skuad muda negara walaupun kalah kepada Thailand dalam perlawanan akhir Selasa lalu.

”Mereka tumpas kepada pasukan yang hebat seperti Thailand, kita tahu mereka mempunyai beberapa pemain dari liga elit negara berkenaan, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad muda negara sewajarnya dihormati.

”Saya gembira melihat persembahan mereka, pemain tidak berputus asa, mereka ada keyakinan dan keinginan untuk menang tetapi tuah tidak menyebelahi mereka,” katanya.