Malaysia bakal menentang Lebanon dalam aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 pada Mac 2018 sebelum memulakan kempen Piala AFF pada November depan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pengganti Vingada akan diumumkan dalam masa terdekat.

“FAM dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (presiden) ingin mengucapkan terima kasih kepada Vingada kerana menyumbangkan jasanya dalam tempoh enam bulan ini dan individu yang akan menggantikannya akan diputuskan oleh FAM bersama Tunku Ismail.

“Tugasan skuad senior yang paling hampir adalah menghabiskan baki satu perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 sebelum menghadapi Piala AFF 2018 pada November depan. Jadi, kita ada masa untuk mengumumkan jurulatih baharu.

“Sama ada jurulatih import atau tempatan, Tunku Ismail akan putuskan. Saya fikir, beliau akan membuat keputusan yang terbaik dalam memutuskan siapa bakal menjadi jurulatih Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, pengunduran Vingada bukan dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya jurulatih dari Portugal itu terlebih dahulu mengadakan pertemuan bersama Tunku Ismail baru-baru ini.

“Isu peletakkan jawatan ini bukan dibuat secara mengejut. Selepas berjumpa Tunku Ismail, mungkin atas rasa tanggungjawab, Vingada melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada orang lain.

“Dia orang lama, jadi keputusan itu bukan diambil disebabkan tekanan. Kontrak Vingada turut dibincangkan dan mencapai persetujuan bersama,” katanya.

Sementara itu, Vingada yang digelar The Professor mengakui keputusan untuk meletakkan jawatannya adalah disebabkan rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku kepada skuad Harimau Malaya.

“Dua pembantu saya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa turut melepaskan jawatan masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan,” katanya.