Pengendali berusia 64 tahun itu berkata, dia akan mengintai beberapa pemain yang berpotensi beraksi bersama Harimau Malaya menerusi penilaiannya terhadap permainan mereka yang terlibat dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia Sabtu ini, serta perlawanan penutup Liga Super pada 28 Oktober depan.

“Saya tidak mahu ditemu bual buat masa ini. Selepas beraksi di Hong Kong, saya telah jelaskan dan semestinya saya telah menjawab semua soalan.

“(Bagaimanapun) buat masa ini saya mahu menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia dan perlawanan penutup Liga Super untuk memilih pemain pada November depan. Saya akan maklumkan nanti.

“Sudah tentu (terdapat muka baharu yang akan beraksi bersama Harimau Malaysia), termasuk beberapa pemain yang beraksi di Hong Kong.

“Ya (ramai pemain di luar sana yang lebih baik). Saya akan lakukan demi memperbaiki kedudukan ranking Malaysia,” kata Vingada ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengendali kelahiran Portugal itu hingga kini masih mencari kemenangan sulung setelah tewas empat kali dan satu seri sejak menduduki kerusi ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Mei lalu.

Vingada, yang digelar Profesor, memulakan tugasnya dengan tanggungjawab besar diletakkan ke bahunya iaitu mengembalikan kegemilangan Harimau Malaya, dengan kedudukan terbaharu mereka ialah menghuni tempat ke-170 dalam ranking dunia.

Harimau Malaya akan meneruskan saingan Kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 14 November ini, namun venue perlawanan itu masih belum ditentukan.

Malaysia masih memiliki tiga perlawanan dalam kelayakan Piala Asia 2019, dengan dua daripada­nya menentang Korea Utara, serta satu perlawanan dengan Lebanon.