PEMAIN Villarreal meraikan kejayaan menumpaskan Atletico Madrid 1-0 dalam perlawanan La Liga di Stadium Vicente Calderon, Madrid semalam. AFP

Bekas penyerang Sampdoria itu menjaringkan gol buat kali ke-10 dalam semua pertandingan setelah dia menyepak bola hantaran lintang Cedric Bakambu pada minit ke-82 ekoran kesilapan Filipe Luis yang membenarkan pasukan pelawat melancarkan gerakan dari sayap kanan.

Villarreal memegang rekod pertahanan kedua terbaik dalam liga selepas Atletico, tetapi penjaga gol mereka Andres Fernandez terpaksa menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada Antoine Griezmann, Angel Correa dan Nicolas Gaitan pada kedua-dua babak permainan sebelum Soriano meletakkan pasukan pe­lawat di depan.

Pemain sayap Atletico, Yannick Carrasco terpaksa dibawa keluar pada minit ke-72 ekoran kecede­raan tulang selangka selepas bertembung dengan pertahanan Villa­rreal, Antonio Rukavina, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap pembabitan pemain itu menjelang separuh akhir pertama Liga Juara-juara dengan Real Madrid.

Atletico masih kekal di tempat ketiga liga walaupun Sevilla, yang kini menghuni kedudukan slot terakhir Liga Juara-juara, berpeluang menyamakan kedudukan kepada 68 mata jika mereka menewaskan Celta Vigo Jumaat ini.

Villarreal pula berada di kedudukan kelima setelah me­ngumpul 60 mata dan muncul pasukan tunggal yang berjaya menundukkan Atletico di laman sendiri dan tempat lawan dalam kempen kali ini.

“Kami cuba untuk menja­ringkan gol dengan apa juga cara, sama ada melakukan hantaran dekat ataupun jauh, berusaha membuka ruang, walaupun tidak menjadi, dan selepas itu mereka pula menjaringkan gol menerusi serang balas.

“Kami tahu apa yang akan mereka lakukan. Mereka akan cuba membuang masa dan me­nunggu untuk satu peluang. Sebaik sahaja mereka berjaya mendahului, maka pertarungan akan menjadi lebih sukar. Mereka telah bermain seperti ini sejak beberapa tahun lalu dan ternyata menjadi,” kata pemain tengah Atletico, Koke kepada pemberita. – REUTERS