Bagaimanapun kedua-duanya meniti laluan berliku sebelum mara ke final apabila Vietnam dan Uzbekistan tidak dapat menumbangkan lawan masing-masing Qatar serta Korea Selatan dalam 90 minit perlawanan separuh akhir hari ini.

Vietnam, yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo terpaksa mengheret Qatar ke sepakan penalti penentuan sebelum menang dengan 4-3 apabila masing-masing terikat 2-2 selepas tamat masa tambahan.

“Kami berjuang untuk penyokong Vietnam, untuk negara. Saya fikir semangat juang yang tinggi adalah senjata terbaik buat pasukan kami,” kata kapten Vietnam, Luong Xuan Truong.

Negara yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar terlebih dahulu berada di depan selepas penyerang Akram Hassan Afif membuka jaringan pada minit ke-39.

Kelebihan tersebut bagaimanapun hanya bertahan 30 minit setelah Vietnam menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Nguyen Quang Hai.

Penyerang Qatar, Almoez Ali Zainalabiddin Abdulla meletakkan semula pasukannya di depan pada minit ke-87 sebelum Vietnam sekali lagi menyamakan kedudukan seminit berselang, bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum berakhir dengan penalti.

Kejayaan tersebut menyaksikan Vietnam meneruskan rentak bersejarah apabila muncul negara ASEAN pertama menempah tiket ke final, setelah sebelum ini memahatnya apabila berada di slot separuh akhir.

Turut bermandi peluh, Uzbekistan yang akhirnya berjaya mengetepikan Korea Selatan dalam masa tambahan dengan 4-1 setelah terikat 1-1 dalam 90 minit masa penuh.

Kesemua jaringan Uzbekistan disumbang oleh Zabikhillo Urinboev pada minit ke-33 Azizjon Ganiev (m-99), Jasurbek Yakhshiboev (m-110) dan Akramjon Komilov (m-121) manakala Hwang Hyun-soo (m-58) memberikan gol saguhati buat Korea Selatan.

Qatar dan Korea Selatan bakal merebut tempat ketiga pada Jumaat ini di Stadium Kunshan, manakala saingan akhir melibatkan Vietnam dan Uzbekistan di Pusat Sukan Olimpik Changzhou pada Sabtu. – AGENSI