Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, pada 15 Mac lalu membayangkan untuk meletak jawatan berikutan kritikan netizen terhadap kedudukan skuad Harimau Malaya dalam ranking dunia yang jatuh tiga anak tangga ke tempat ke-178, yang terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Baginda kemudian memuat naik status berbentuk poster mengandungi kata-kata ‘7 more days’ (tujuh hari lagi) yang menimbulkan tiga persoalan iaitu sama ada akan memuktamadkan peletakkan jawatannya sebagai Presiden FAM, genap setahun menduduki kerusi No. 1 badan induk bola sepak tempatan itu atau menjelang kongres FMLLP.

Persoalan itu terjawab hari ini dengan pengumuman Tunku Ismail dalam sidang akhbar selepas Kongres Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) di sini hari ini.

Baginda dipilih sebagai Presiden FAM tanpa dicabar dalam kongres di Kuala Lumpur pada 25 Mac tahun lalu.

Tunku Ismail, berkata ketika dilantik sebagai Presiden, baginda telah memaklumkan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk memegang jawatan berkenaan selama setahun selepas berjaya menstrukturkan semula FAM dan berusaha membawa penaja.

“Saya nak menyatakan pendirian saya tanpa bersikap diplomatik terutama sekali kepada peminat bola sepak. Setahun saya berada dalam FAM, saya membawa struktur yang baharu dengan mengadakan mesyuarat Exco secara berkala di setiap negeri ahli gabungan.

“Buat pertama kali dalam sejarah, setiap pasukan Liga Super memperoleh geran RM3 juta dan RM1 juta pula untuk pasukan Liga Perdana.

“Tindakan sesetengah pihak menilai prestasi saya dengan (menggunakan) kemampuan skuad Harimau Malaya dilihat lebih kepada mencabar saya selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT),” ujarnya.

Tunku Ismail turut berbangga dengan pencapaian skuad Bawah 23, Bawah 19 dan Bawah 16 tahun yang menunjukkan peningkatan dalam pertandingan peringkat Asia ketika menerajui FAM.

Tambah beliau, sudah tiba masanya untuk tidak lagi berkhidmat dengan pihak yang bersikap bodoh sombong dan kurang pandai dalam menilai kemajuan yang telah dibawa.

“Oleh itu, saya memilih untuk berkhidmat dengan individu yang bijak, yang boleh menilai prestasi kerja saya menerusi FMLLP yang akan dijenamakan semula.

“FMLLP kini dikenali sebagai Malaysia Football League (MFL) yang merupakan sebuah organisasi yang tidak berkait dengan FAM,” katanya.

TMJ telah dilantik sebagai Pengerusi MFL menerusi kongres FMLLP yang dianggotai oleh pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia.