Peguam kepada ketiga-tiga mereka, Irawan Sudarsono berkata, dua pemain FAS, Mazwandi Zekeria, 29, dan Mohamad Hafiz, 28, serta Mohd. Zaiman Rosli, 34, bagaimanapun meletakkan syarat bahawa pertemuan yang berlangsung nanti mestilah disertai oleh dua lagi peguam yang dilantik mewakili mereka iaitu Ahmad Dzulfadli Abang Hamdan dan Saifunnizam Sam.


Video Oleh MD AZRIN ROSLY

Katanya, hal ini kerana Mazwandi dan Mohd. Zaiman masih lagi pemain profesional Sarawak dan menghormati kontrak dimeterai serta akan bermain dengan pasukan Ngap Sayot sekarang.

"Pada masa sama, kita juga masih melihat semua kebarangkalian tindakan sivil dalam lingkungan undang-undang bagi membantu ketiga-tiga anak guam menuntut keadilan buat mereka.

"Klien kami amat kecewa dengan cara FAS mengendalikan siasatan atau tuduhan dibuat. Kita percaya terdapat kelakuan salah berkaitan kebenaran terhadap anak guam," katanya dalam sidang akhbar bagi menjawab kenyataan FAS mengenai dakwaan anak guamnya mengatur perlawanan sebagai punca kekalahan 2-3 Sarawak ketika menentang Felcra FC pada 10 Februari lalu, di sini hari ini.

Terdahulu, bapa kepada kedua pemain terbabit, iaitu Zekeria Ibrahim, 51, dan Abu Bakar Alem, 53, bersama Mohd. Zaiman mem buat laporan di Balai Polis Sentral setelah tidak berpuas hati dengan tuduhan dan tindakan FAS yang memberi impak negatif kepada karier, diri serta keluarga mereka.

Bagaimanapun, Presiden FAS dalam kenyataan akhbarnya semalam menyatakan tindakan itu hanya sebagai menjalankan tanggungjawab dan amanah diberikan dan turut menafikan bahawa dakwaan diambil bertujuan menganiaya pemain.

Irawan memberitahu, mereka percaya ada tanggapan salah terhadap perwatakan Mazwandi dan Mohd. Zaiman sebagai pemain profesional semasa FAS membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada permohonan maaf daripada FAS ekoran impak siasatan atau dakwaan terhadap mereka.

Katanya, pemain terbabit telah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan dibuat SPRM.