Acara julung kalinya diadakan di Dewan Utusan itu telah dihadiri kira-kira 600 peminat kedua-dua gergasi bola sepak Inggeris itu, termasuk 400 pembaca yang berjaya menjawab dengan tepat lima soalan bagi mendapatkan satu pas masuk.

Program [email protected] menerima sokongan padu daripada dua penaja global Liverpool iaitu Malaysia Airlines selaku syarikat penerbangan global kelab itu dan Standard Chartered yang menaja jersi pasukan. Program ini juga menerima sokongan Mamee-Double Decker Sdn. Bhd. dan Mubari Group of Companies.

Acara tersebut yang diselang-selikan dengan acara cabutan bertuah dan jualan lelong jersi Liverpool yang ditandatangani pemain sebenar, turut dihadiri kira-kira 30 peratus penyokong Manchester United.

Tarikan utama acara itu ialah cabutan bertuah tiket penerba­ngan kelas perniagaan ulang alik Kuala Lumpur-London tajaan Malaysia Airlines Berhad bernilai RM20,000 untuk dua orang, yang dimenangi Redzuan Ahmad.

Ketua Kemampanan dan Hal Ehwal Korporat Standard Chartered, Mastura Adnan berpuas hati berjaya mengutip lebih RM7,000 daripada lelongan jersi bertandatangan yang disalurkan kepada tabung Seeing Is Believing, anjuran bersama bank itu dengan LFC di peringkat global.

Acara malam Sabtu itu dihadiri oleh dua penyokong setia MUFC iaitu Pengerusi Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Khamil Jamil dan Pengarah Komunikasi Korporat MRT. Corp, Datuk Najmuddin Abdullah. Yang turut hadir ialah Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Pengerusi jawatankuasa penganjuran, Johardy Ibrahim berkata, acara tersebut yang berkonsepkan menonton dengan selesa dalam dewan berhawa dingin dan bebas dari­pada asap rokok, menerima maklum balas baik daripada hadirin.

“Format kami untuk acara pertama ini ialah Liverpool sebagai tuan rumah, namun kami membuka pintu kepada 30 peratus penyokong MUFC.

“Dalam konteks ini, kami bersedia mendengar cadangan daripada kelab-kelab penyokong lain untuk sama-sama menganjurkan acara menonton secara langsung [email protected] di Dewan Utusan,” katanya di sini hari ini.

Johardy berkata, untuk program pertama ini pihaknya menerima kerjasama daripada All Reds Malaysia iaitu satu daripada tiga kelab penyokong yang diiktiraf oleh Liverpool Football Club.

“Kami masih di peringkat awal perbincangan dengan pegawai kelab penyokong Tottenham Hotspur. Kami beri mereka kebebasan memilih perlawanan Hotspur dengan mana-mana pasukan.

“Pihak kami juga telah mengutus berita kepada semua yang menjadi ahli kelab-kelab penyokong untuk meneliti lebih mendalam prospek mengadakan acara menonton perlawanan di Dewan Utusan,” jelasnya.