Bagaimanapun, penyerang dari Denmark itu yang telah menjaringkan 25 gol musim ini, mahu memenangi Piala Malaysia untuk dijadikan sebagai hadiah perpisahan terbaik untuk Kedah dan penyokong pasukan tersebut.

Namun, dia enggan mendedahkan masa depannya walaupun difahamkan telah meraih tawaran daripada pasukan lain dalam Liga Malaysia, sebaliknya mahu memberi fokus sepenuhnya ter­hadap aksi final terlebih dahulu. 

“Walau apa pun terjadi, saya hanya mahu memberikan segalanya untuk pasukan dan memenangi perlawanan Sabtu ini.

“Perlawanan ini adalah aksi terakhir saya bersama Kedah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.



Mengulas mengenai perlawanan menentang Harimau Selatan, Ken Ilso menyifatkan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan memandangkan keputusan dalam pertemuan terakhir iaitu Liga Super sebelum ini berakhir dengan keputusan seri

Namun, penyerang berusia 31 tahun itu yakin ada kelebihan tertentu akan memihak kepada Kedah bagi memastikan impian mereka meraih trofi ketiga musim ini menjadi kenyataan.

“Setakat ini, saya telah menjulang kejuaraan Sumbangsih dan Piala FA. Kali ini kami bertemu JDT, lawan yang sama ketika aksi Sumbangsih tetapi ia pastinya akan berbeza kerana ini perlawanan penutup untuk Liga Malaysia musim ini.

“JDT mempunyai barisan pemain yang bagus dan saya gembira untuk beraksi dalam perlawanan ini. Pasti saya mahu menjaringkan gol tetapi yang menjadi kepentingan utama adalah memastikan pasukan menang,” ujarnya yang menjanjikan aksi terbaik.

Selain itu, Piala Malaysia 2017 adalah penampilan terakhir buat pertahanan import dari Australia, Zac Anderson bersama skuad Lang Merah.