Video oleh MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI

Penyerang sensasi Denmark itu berjaya memikat hati penyokong Hijau Kuning hanya dalam musim pertama di Kedah, malangnya jodoh Ilso dan Lang Merah tidak berpanjangan apabila bakal meninggalkan juara Piala FA itu untuk mencari cabaran baharu.

Ilso, 30, yang telah meledak 25 gol musim ini (dalam semua pertandingan) mengesahkan, pertemuan dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam akan menjadi penampilan terakhirnya bersama Kedah.

“Perlawanan ini adalah aksi terakhir saya bersama pasukan.

“Walau apa pun terjadi, saya hanya mahu memberi segalanya untuk Kedah dan memenangi perlawanan Sabtu ini,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan skuad Kedah di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, hari ini.

Ilso yang pernah beraksi buat kelab Singapura, Home United, selain Guangzhou R&F di China enggan mendedahkan destinasi baharunya selepas meninggalkan skuad Lang Merah, namun difahamkan dia menerima tawaran lebih lumayan daripada kelab dalam Liga Malaysia.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Harimau Selatan, Ilso menyifatkan peluang kedua-dua pasukan seimbang selepas dua pertemuan mereka dalam Liga Super berkesudahan seri.

Kedah mengikat JDT 1-1 di Larkin pada 20 Januari, sebelum seri 0-0 di Alor Setar, Sabtu lalu.

“Saya telah menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA bersama Kedah. Kali ini kami akan bertemu JDT, lawan yang sama ketika aksi Sumbangsih tetapi ia pasti berbeza kerana ini perlawanan penutup untuk Liga Malaysia musim ini.

“JDT mempunyai barisan pemain yang bagus dan saya gembira untuk beraksi dalam perlawanan ini. Sudah tentu saya mahu menjaringkan gol tetapi yang lebih penting adalah memastikan pasukan muncul juara,” ujarnya lagi.

Selain Ilso, Piala Malaysia kali ini juga bakal menjadi penampilan terakhir buat tonggak pertahanan dari Australia, Zac Anderson. - UTUSAN ONLINE