Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron berkata, proses penilaian masih lagi dilakukan barisan kejurulatihan yang diterajui ketua jurulatih, Eduardo Almeida untuk memastikan pemain yang dipilih perlu mencapai piawaian yang ditetapkan.

Kata Idris, Melaka United memberikan tumpuan kepada pemain-pemain dari dua negara berkenaan kerana kemampuan mereka beraksi penuh 90 minit selain mempunyai kekuatan dalam aspek stamina dan larian.

“Timbalan Presiden, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi membayangkan kita mungkin mengambil pemain dari Vietnam atau Thailand. Kita belum ada keputusan muktamad kerana hendak tengok sama ada kualiti permainan mereka mencapai tahap yang diharapkan atau tidak.

“Daya tahan pemain Melaka United musim lalu sekitar 60 hingga 65 minit sahaja, selebihnya kita bertahan. Jadi, kita perlukan pemain dari negara yang disebutkan tadi kerana mampu berlari 90 minit sekali gus memberikan suntikan motivasi kepada rakan sepasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online ketika mengadakan lawatan ke bilik operasi Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Ditanya mengenai bayangan nama pemain dari dua negara terbabit yang telah disenarai pendek Melaka United, Idris berkata, beliau belum lagi menerima nama pemain berkenaan.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, Melaka United mengambil langkah awal dalam pasaran perpindahan pemain akhir musim ini adalah kerana mahu memastikan pasukan itu tidak mengulangi kesilapan sama seperti yang dilalui musim ini.

Katanya, Melaka United mempunyai masalah besar musim ini kerana menganggap pemain utama boleh membawa perubahan kepada pasukan tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

“Di dalam persaingan itu terdapat beberapa puak yang tidak mempunyai keseragaman dari segi perasaan, emosi dan tindakan. Lebih berpuak-puak. Ada yang hanya menghantar bola kepada seorang pemain sahaja walaupun pemain itu berada pada kedudukan tidak stabil dan lemah.

“Jadi ini berlaku dan kita kenal. Apabila kita lakukan siasatan memang ada puak di dalam pasukan di peringkat awal dan selepas dikeluarkan pemain itu, keseragaman permainan lebih ketara, lebih mantap. Akhirnya kita kesan memang ada komplot dan memang ada pasukan kecil dalam Melaka United pada peringkat awal dan ini tidak akan berlaku lagi,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE