Azzudin turut me­nimbulkan persoalan mengapa bola sepak dijadikan platform untuk membuat bantahan terhadap kekejaman yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Myanmar sedangkan isu tersebut bukan sesuatu yang baharu.

Azzudin yang juga Setiausaha Agung FAM dari 2007 hingga 2013 berkata, beliau berharap kerajaan Malaysia dapat membuat keputusan yang bijak dan tidak me­rugikan mana-mana pihak kerana kesan menarik diri daripada Piala AFF amat berat.

“Piala AFF adalah kejohanan utama di rantau ini dan peminat setia menanti dua tahun sekali. Saya amat terkejut kerana keputusan ini (gesaan menarik diri) dibuat secara spontan kerana isu yang dibangkitkan bukan perkara baharu. Benda ini (kekejaman) sudah lama berlaku dan kenapa perlu menunggu semasa kejohanan ini baru nak diusulkan?

“Kejohanan ini diiktiraf FIFA jadi FAM bakal berdepan hukuman gantung oleh badan induk dunia itu. FIFA tidak ada batasan dari segi warna kulit, agama dan lain-lain. Bola sepak adalah bebas. Kemudian saya mahu tanya kepada pihak yang bijaksana, adakah ini pilihan terakhir dan utama kerana menarik diri akan memberi impak negatif.

“Penggantungan oleh FIFA sudah pasti sebab ada campur tangan kerajaan kerana perkara seperti ini sering berlaku tapi saya tidak dapat tentukan tempoh penggantungan.


Video oleh FADHILUL IZMEL ISHAK

“Malah, penarikan diri juga akan memberi tanggapan negatif terhadap Presiden AFF, Sultan Ahmad Shah. Keyakinan terhadap kepimpinan baginda telah membuatkan baginda dilantik sebagai presiden tapi kita tidak menghargai penghormatan yang diberikan oleh 12 ahli AFF,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar tergempar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azzudin memberitahu AFF bakal dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak penaja yang telah melaburkan jutaan ringgit untuk memastikan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar.

“Jutaan ringgit sudah di­laburkan untuk menentukan kejohanan ini berjalan lancar dan licin. AFF bakal dikenakan tindakan undang-undang dengan diminta membayar pampasan. AFF bukan pertubuhan yang ba­nyak duit dan kami akan berdepan masalah jika pihak kerajaan memutuskan untuk menarik diri pada Jumaat ini,” katanya lagi.

Azzudin turut meluahkan kekecewaannya dan tanpa berselindung memberitahu beliau terkejut kerana gesaan tersebut dilakukan pada saat akhir dan berharap mesyuarat Kabinet dapat memberi keputusan positif .

Beliau turut mempersoalkan penyertaan Myanmar dalam Sukan SEA 2017.

“Kami berasa amat kesal dan kecewa kalau keputusan menarik diri dapat sokongan daripada Kabinet atau Kerajaan Malaysia. Malaysia hanya mempunyai satu lagi perlawanan untuk menentukan pasukan mana akan ke separuh akhir

“Jika menarik diri adakah Myan­mar juga akan dikecualikan daripada menyertai Sukan SEA 2017? Kita perlu konsisten dan kita tidak boleh melatah. Individu yang nak buat keputusan perlu membuat kajian lebih mendalam. Jika tarik diri Malaysia berkemungkinan digantung daripada menyertai AFF pada 2018 dan 2020,” katanya 
lagi. – UTUSAN