Kekalahan kedua itu sekali gus menyukarkan peluang untuk Malaysia mencari tiket ke pusingan akhir Piala Asia yang akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 Januari hingga 1 Februari, 2019.

Malaysia, yang menghuni ranking ke-166 dunia bermula baik sebelum perancang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq dilayangkan kad merah gara-gara terpijak pertahanan Hong Kong, Dani Cancela pada minit ke-39.

Dari saat itu, Harimau Malaya yang mulai tempang dikejutkan dengan jaringan skuad Dragons hasil tandukan penyerang Jordi Tarres Paramo, seminit sebelum wisel rehat babak pertama dibunyikan.

Tuan rumah yang menduduki tangga ke-147 dunia memanfaatkan sepenuhnya kekurangan Malaysia apabila menambah gol kedua hanya empat minit selepas babak kedua bersambung menerusi jaringan penyerang, Jaimes McKee pada minit ke-49.

Layangan kad merah kepada Safiq hari ini mengulangi detik hitam Harimau Malaya ketika berdepan Hong Kong dalam perlawanan pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September lalu apabila dua tonggaknya ketika itu, Mohd. Aidil Zafuan Abd Razak dan Rizal Ghazali dibuang padang. Perlawanan itu bekesudahan seri 1-1.

Kekalahan terbaharu ini menyaksikan skuad bimbingan Nelo Vingada menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan hanya mengutip satu mata. Malaysia sebelum ini turut tewas 1-2 kepada Lebanon di Larkin pada 13 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE