Video oleh FADHILUL IZMEL ISHAK

Malaysia akan bertemu Iraq dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C Kejohanan Bawah 23 AFC di Stadium Changshu, Rabu ini dan anggota skuad lawan dikatakan memprovokasi anak buah Kim Swee ketika mereka bertembung dalam lif di hotel penginapan mereka di sini.

Tindakan pemain Iraq yang melancarkan serangan psikologi terhadap anak buahnya membuatkan Kim Swee menjangkakan setiap perlawanan bakal menjadi panas.

Jurulatih dari Melaka itu bagaimanapun enggan mencampuri urusan tersebut kerana perkara itu biasa dalam kalangan pemain dan dia percaya anak buahnya dapat mengawal situasi dengan baik serta profesional.

“Semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan dan penting untuk saya memastikan fokus setiap pemain tidak terganggu dalam tempoh 48 jam sebelum perlawanan bermula.

“Saya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku. Bagi saya apa yang pemain Iraq cuba lakukan adalah lebih berbentuk peperangan psikologi dan pemain saya dapat mengawal situasi secara profesional.

“Insiden itu tidak mengganggu persiapan pemain dan saya ada memberitahu kepada mereka agar menghormati setiap orang termasuk pihak musuh, namun pada masa sama cuba buktikan kami lebih matang dalam padang.

“Pastinya pertemuan menentang Iraq akan menjadi tegang, bukan sahaja dengan mereka malah Jordan dan Arab Saudi akan berdepan situasi yang sama,” katanya kepada pemberita di Padang Latihan Haiyu hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan terdapat segelintir pemain Iraq cuba mengganggu pemain negara apabila ada dalam kalangan mereka yang merapati dan merenung Jafri Firdaus Chew namun Ifwat Akmal Chek Kassim tampil ke depan untuk menyokong rakannya.

Dalam pada itu, bekas pengendali kebangsaan itu memberitahu buat masa ini pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan dia berharap tiada masalah yang tidak diingini berlaku. – UTUSAN