Kejohanan kali ini bermula hari ini dengan aksi Kumpulan A antara juara terbanyak dan pilihan pertama Thailand bertemu Indonesia dan Filipina menentang Singapura di Manila.

Malaysia berada dalam Kumpulan B yang berpangkalan di Yangon di mana persaingan dianggap kurang kuat jika dilihat kepada senarai pencabar skuad Kim Swee iaitu tuan rumah Myanmar, Vietnam dan Kemboja.

Kemboja akan menjadi lawan Harimau Malaysia pada hari pertama aksi Kumpulan B di Stadium Thuwunna esok, dengan peluang untuk mendapat permulaan cemerlamg tidak sepatutnya dilepaskan oleh skuad diketuai Mohd. Amri Yahyah sungguhpun pencabar mereka itu dikatakan membuat persediaan lebih rapi dengan menempuh 15 perlawanan persahabatan berbanding Malaysia yang tidak sampai 10.

Video oleh FADHILUL IZMEL ISHAK

Bagaimanapun, mengganggap Kemboja, yang kali terakhir layak ke pusingan akhir kejohanan ini lapan tahun lalu, adalah pencabar mudah juga adalah satu kesilapan.

Skuad kendalian jurulatih Lee Tae Hoon kali ini menampilkan pemain muda yang mampu memberi ancaman kepada Harimau Malaysia. Kemboja mencatat rekod tanpa kalah dalam pusingan kelayakan Piala AFF.

Apa yang pasti semua pasukan mahukan permulaan positif dalam perlawanan pembukaan mereka dan walaupun tidak dilabel sebagai pasukan pilihan namun Tae Hoon sudah bersedia untuk melakukan kejutan dalam peringkat kumpulan.

“Bagi saya setiap perlawanan dalam kejohanan ini amat penting dan kami sudah me­lakukan persediaan rapi untuk menghadapinya dan walaupun pemain saya kurang berpe­ngalaman namun jika mereka berkeyakinan tinggi saya fikir tiada masalah. Purata umur pemain saya adalah 21 dan 22 tahun.

“Ya (bersedia me­lakukan kejutan). Kami sudah lama menantikan saat ini untuk beraksi dalam Piala AFF dan akhir­nya kami berjaya membuat penampilan dalam edisi kali ini. Saya sedang membuat persiapan terhadap masa depan bola sepak kemboja namun saya fikir kami masih lagi mampu memberi cabaran kepada pasukan lain.

“Saya harap pemain dapat meningkatkan kualiti permainan mereka. Kami mempunyai penyokong yang bagus. Jika kami beraksi di laman sendiri peminat akan membanjiri stadium.

“Mereka pasti menonton perlawanan kami di te­levisyen dan memberi sorakan kepada kami dari jauh,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar praper­lawanan dengan Malaysia hari ini.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Kim Swee mengakui beliau perlu mencari tiga mata kemenangan sebagai permulaan namun jika keputusan perlawanan tidak berpihak kepada Harimau Malaysia pertemuan seterusnya dijadikan taruhan.

“Saya fikir perlawanan esok pasti sukar tapi kalau kami berjaya mencapai keputusan positif sudah pasti menaikkan sema­ngat dan moral pemain. Apa jua keputusan yang dicatatkan esok bukanlah penamat.

“Kita masih mempunyai dua lagi perlawanan dan kita akan memberi fokus kepada aksi kedua dan ketiga. Kami pasti sudah bersedia dalam apa jua keadaan sekali pun. Saya tahu setiap pasukan ada peranca­ngan masing-masing dan begitu juga dengan kami,” katanya, yang kali pertama membimbing skuad senior untuk kejohanan besar selepas menggantikan Dollah Salleh.

Kemenangan amat ditagih oleh Harimau Malaysia dalam pertemuan esok kerana selepas itu mereka bakal bertemu lawan lebih kuat iaitu Vietnam pada 23 November dan Myanmar pada 26 November. – UTUSAN