Kekalahan terbaharu ini bermakna skuad negara tidak pernah menang dalam enam perlawanan di bawah bimbingan jurulatih dari Portugal itu, malah keputusan malam ini meletakkan Harimau Malaya semakin hampir ke pintu keluar pertandingan walaupun masih memiliki baki dua perlawanan.

Sepanjang berada di bawah kendalian Vingada, selain kekalahan pada malam ini, Malaysia tewas 1-2 kepada Lebanon, kalah 0-2 dan seri 1-1 dengan Hong Kong yang kesemuanya dalam kempen kelayakan Piala Asia. Malaysia turut kalah 1-2 kepada Syria, dan 0-1 kepada Myanmar dalam perlawanan persahabatan.


Video Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

Kekalahan terburuk ini meletakkan skuad negara di anak tangga tercorot Kumpulan B di belakang Lebanon, Korea Utara dan Hong Kong selepas hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan.

Baki dua perlawanan Malaysia ialah menentang Korea Utara pada Isnin depan dan Lebanon pada 27 Mac 2018.

Malam malang skuad negara bermula dengan keputusan pe­ngadil Fahad Adwan Almirdasi dari Arab Saudi yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Korea Utara pada minit ke-11 kerana mendakwa bola terkena tangan ketua pasukan Mohamad Fadhli Shas.

Sepakan penalti mudah disempurnakan oleh penyerang lawan Pak Kwang-ryong untuk memulakan pesta jaringan Korea Utara.

Sejak detik itu, anak didik Vingada seperti kehilangan rentak permainan dan mudah kehilangan bola. Kelemahan itu digunakan dengan baik oleh pemain lawan untuk menggandakan jaringan tiga minit sebelum babak pertama berakhir menerusi tandukan penyerang Kim Yu-song untuk mendahului Malaysia 2-0 pada babak pertama.

Belum sempat skuad negara mengatur rentak serangan apabila babak kedua bermula, kubu negara dibocori buat kali ketiga menerusi rambatan kencang Kim Yong-il pada minit ke-49, disusuli gol keempat menerusi Jong Il-gwan pada minit ke-59 selepas pemain tengah itu menyempurnakan sepakan bebas berhampiran kotak penalti pasukan negara.

Malaysia bagaimanapun me­raih gol semangat untuk bekalan ke pertemuan kedua minggu depan apabila pemain gantian Safawi Rasid melakukan rembatan deras di dalam kotak penalti lawan pada minit ke-67.

Walaupun masih memiliki dua perlawanan, kekalahan ini memberi bayangan bahawa skuad Vingada boleh melupakan impian untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana mereka kini berada empat mata di belakang pasukan terdekat Hong Kong.

Kedua-dua perlawanan de­ngan Korea Utara dilangsungkan di Buriram setelah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terpaksa menunda pertemuan kedua-dua pasukan sebanyak tiga kali kerana ketegangan politik yang melanda negara terbabit sebelum mencapai kata sepakat untuk mengadakan perlawanan itu di Thailand. – UTUSAN