Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat pembaharuan berlaku dalam FAM yang dipalitkan dengan pelbagai dakwaan negatif kelihatan dipenuhi oleh perwakilan yang mengundi orang baharu untuk memimpin badan induk itu dan hanya dua orang lama masih kekal.

Dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah diketahui menjadi Presiden setelah Tan Sri Annuar Musa menarik diri 48 jam sebelum kongres, pemilihan hari ini tertumpu kepada siapa yang akan membantu baginda selaku Timbalan Presiden.

Namun, seperti jangkaan Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi memenangi pertandingan tiga penjuru itu dengan jumlah undi besar setelah masing-masing mendapat 37 dan 33 undi untuk mengalahkan penyandang Datuk Seri Afandi Hamzah.

Seorang lagi Timbalan Presiden sebelum ini iaitu Datuk Mokhtar Ahmad tidak bertanding.

Mohd. Yusoff merupakan salah seorang daripada dua pemimpin dari penggal sebelum ini yang menang, malah naik pangkat setelah penggal lalu dipilih sebagai Exco bersama-sama Datuk S. Sivasun­daram yang kali ini memenangi kerusi Naib Presiden.

Ia memberi petunjuk yang jelas bahawa perwakilan mahukan FAM mengalami perubahan sepenuh­nya untuk membawa bola sepak negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa, terutamanya menerusi prestasi skuad Harimau Malaysia.

Hasrat untuk melihat Tunku Ismail menduduki kerusi No.1 di FAM sudah menjadi kenyataan dengan beliau disahkan jawatan hari ini, dan kini adalah masa untuk melihat pembaharuan berlaku dalam badan induk tersebut menerusi 11 perkara yang dijanjikan menerusi manifesto baginda sebelum ini.

Tunku Ismail sedar, tugas untuk memulihkan persepsi masyarakat terhadap FAM bukan mudah dan tidak boleh dilakukan seorang diri. Oleh itu dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden baharu FAM di sini hari ini pertama selaku Pre­siden, baginda ‘memberi amaran’ kepada barisan pemimpin baharu agar bersedia memberi komitmen dan bekerja keras.

“Tahniah kepada yang menang. Ini era baharu untuk FAM tetapi apa yang lebih penting adalah kami perlu sedar terhadap tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada kami. Jangan lupa tuan-tuan dan puan-puan bahawa bola sepak adalah milik rakyat.

“Jadi, saya menyeru dan memberi nasihat seikhlas hati kepada semua (pemimpin baharu) yang ada di dalam dewan ini untuk sentiasa jaga integriti, profesionalisme dan dedikasi dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing.

“Anda (pemimpin baharu) kena ikut momentum saya sekarang ini. Anda harus bersedia pada bila-bila masa sahaja dengan tanggungjawab yang telah diberikan.

“Saya beri nasihat kepada semua yang ada bahawa kita mesti punya ketelusan, keikhlasan dan integriti semasa menjalankan tugas kerana saya ingin semua rak­yat Malaysia rasa mereka bersama kita dalam usaha untuk membangunkan dan memulihkan imej bola sepak tanah air,” kata baginda.