Daripada jumlah tersebut RM100,000 diberikan oleh KBS, manakala baki RM50,000 sumbangan daripada FAM.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, insentif yang diberikan KBS itu merupakan satu pembakar semangat kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah tersebut untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Mohd. Faiz, atas kemenangan yang luar biasa ini.


Video oleh AZMAN ASMAYATIM

“Ia adalah kemenangan pertama Malaysia di peringkat dunia,” katanya dalam ucapan penghargaan sebaik sahaja menyambut ketibaan Mohd. Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 30 dan dua orang anaknya, Akif Fayyad, 4, serta Aqil Zayyan, 8 bulan.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang turut mengiringi Mohd Faiz ke Zurich, memaklumkan insentif sebanyak RM50,000 yang diberikan pihaknya adalah satu pengiktirafan badan induk itu terhadap Mohd. Faiz kerana membantu menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Selain menerima durian runtuh tersebut, Mohd. Faiz,30, turut menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong berikutan menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah daripada FIFA.

Mohd. Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kerjayanya itu selepas membuat jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.

Malah, dia juga berjaya memahat sejarah sebagai pemain Asia pertama meraih anugerah berprestij itu setelah mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Sementara itu, di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas bergema sorakan sebaik sahaja Mohd. Faiz tiba pukul 9 malam ini. Kepulangannya disambut 500 penyokong Harimau Kumbang yang menunggu sejak petang tadi.

Turut menyambut ketibaan Mohd. Faiz, ibu bapanya, Subri Kader dan Sa’diah Ishak serta lebih 20 ahli keluarga dari Air Hitam dan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).