Walau bagaimanapun, penggunaan VAR akan dapat disaksikan lebih awal kerana bagi peringkat perintis teknologi itu akan digunakan dalam perlawanan separuh akhir dan akhir Piala Malaysia tahun ini sebelum digunakan secara menyeluruh pada 2018.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, teknologi tersebut yang akan dikendalikan oleh syarikat Hawk-Eye Innovation yang berpangkalan di London melibatkan kos hampir RM10 juta.

“Sejurus Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu kira-kira dua minggu lalu, baginda telah menitahkan supaya syarikat konsultan dari FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) ini datang untuk memberikan taklimat kepada kita.

“Dalam sesi tengah hari tadi pun, Tunku Presiden telah bertitah dan berkenan untuk mempersetujui penggunaan VAR dan pengadil profesional ini yang akan kita cuba projek perintisnya mungkin bermula ketika separuh akhir hingga akhir Piala Malaysia musim ini.

“Pengadil profesional pun kita akan mulakan tahun depan. Tetapi persiapan ke arah itu akan kita mula dari sekarang dan Jawatankuasa Pengadil FAM sudah pun mengenal pasti 15 hingga 20 orang pengadil elit untuk kita tawarkan sebagai pengadil profesional.

“Tuanku Presiden pun sudah bersetuju dengan jumlah gaji bulanan yang akan diberikan kepada pengadil profesional ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat VAR dan pengadil profesional anjuran FAM di sini, hari ini.

Sesi taklimat itu turut dihadiri pihak konsultan dan pengadil profesional dari London itu dan melibatkan penyertaan 30 pengadil Liga Malaysia serta 10 orang Penilai Pengadil (RA).

Hamidin berkata, teknologi itu bagaimanapun tidak akan digunakan untuk perlawanan Liga Perdana kerana melibatkan kos yang tinggi.

Penggunaan VAR kini digunakan oleh liga utama di Eropah antaranya Ligue 1 (Perancis), Bundesliga (Jerman) dan Eredivisie (Belanda).

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh pula berkata, penggunaan teknologi tersebut akan menambah baik mutu pengadilan dan tidak menjejaskan tempo perlawanan kerana hanya mengambil masa kurang 15 saat sahaja untuk membuat sebarang keputusan yang kritikal.

Katanya, empat kriteria yang akan diberikan penekanan adalah menentukan kesahihan atau pembatalan gol, pemberian sepakan penalti, kad merah serta pengesahan identiti pemain sekiranya kad diberikan kepada orang yang silap.