Video oleh FADHILUL IZMEL ISHAK

Malaysia berdepan tugas sukar seawal perlawanan pertama peringkat Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) apabila menentang juara 2013, Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini.

Begitu pun, Adib yang juga ketua pasukan negara tidak mahu menjadikan kelebihan yang dimiliki lawan sebagai halangan untuk mereka memburu kemenangan pertama.

“Iraq bermain dengan pantas serta mempunyai fizikal yang besar, dan sejujurnya kami memang tidak boleh menandingi mereka daripada segi saiz badan.

“Bagaimanapun, saya tidak fikir itu akan menjadi masalah yang terlalu besar. Apa yang penting, mental kena kuat apabila berdepan Iraq dan jangan hanya kerana mereka lebih sasa dan memiliki rekod lampau yang bagus, kita mengalah awal.

“Alhamdulillah setakat ini semua persiapan menghadapi kejohanan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Semua pemain bersaing baik untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama, dan ini perkembangan yang bagus buat pasukan,” kata Adib kepada Utusan Online di sini hari ini.

Selain muncul juara lima tahun lalu, Iraq yang digelar Asiad Asia turut menduduki tempat ketiga dalam kejohanan yang sama, dua tahun lalu dan melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan 2018 selaku juara Kumpulan B di peringkat kelayakan.

Dalam pada itu, Adib, 22, memberitahu, ada beberapa pemain Iraq yang dikenal pasti mempunyai keupayaan lebih menonjol berbanding rakan mereka dan perlu diberi perhatian sepanjang perlawanan Rabu ini.

“Ada beberapa pemain Iraq memiliki prestas hebat seperti penyerang Ayman Hussein dan pemain tengah, Bashar Resan. Kami perlu mendengar arahan jurulatih dengan teliti untuk melakukan persiapan terbaik menghadapi pasukan ini.

“Ayman ada penyudah yang baik dan boleh menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang sedikit, manakala Bashar memiliki kemampuan melakukan hantaran tepat untuk menggerakkan pasukan mereka,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE