Shearer mengkritik sistem VAR Piala Dunia selepas teknologi itu menjadi ‘bintang utama’ pada babak kedua yang penuh drama ketika Portugal dan Iran seri 1-1, awal pagi tadi.

Perlawanan tersebut banyak kali terganggu selepas pengadil, Enrique Caceres kerap memberhentikan permainan untuk merujuk kepada sistem VAR, yang turut menghadiahkan sepakan penalti yang akhirnya gagal disempurnakan oleh penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Akibat terlalu marah, Shearer mengeluarkan pelbagai kata-kata yang tidak sepatutnya ketika meluahkan pandangannya mengenai teknologi yang kali pertama digunakan oleh badan bola sepak dunia, FIFA dalam Piala Dunia.

“Saya hampir-hampir mengeluarkan kata-kata kesat secara langsung di TV!.

“Apa yang cuba saya katakan adalah, VAR sama sekali mengarut!,” kata bekas penyerang Newcastle United dan Blackburn Rovers itu sejurus wisel penamat ditiupkan.

Shearer turut melabelkan perlawanan tersebut sebagai ‘sandiwara’, malah kenyataan itu turut dipersetujui oleh Mario yang menegaskan, tindakan pengadil memberhentikan permainan berulang kali menyukarkan pemain.

“Ia sangat sukar dengan VAR. Terlalu banyak gangguan, banyak kali kali perlawanan terhenti dan kami datang ke sini untuk bermain.

“Semua pemain mahu memberikan yang terbaik dan itu perkara paling penting,” kata Mario.

Keputusan seri menentang Iran bermakna, Portugal menamatkan kempen Kumpulan B selaku naib juara di belakang Sepanyol, dan mereka akan menentang Uruguay dalam pusingan 16 akhir, Sabtu ini.

Sepanyol yang seri 2-2 dengan Maghribi dalam satu lagi perlawanan, awal pagi tadi akan bertemu tuan rumah, Rusia. - AGENSI