Chile mempamerkan aksi dominan yang cukup menghiburkan, tetapi mereka gagal membolosi gawang lawan sepanjang babak pertama permainan, setelah rembatan kencang Eduardo Vargas dinafikan oleh VAR.

Juara Copa America itu terpaksa menanti sehingga minit ke-81 bagi memecah kebuntuan, setelah pemain tengah Bayern Munich, Vidal melayangkan badannya untuk menanduk masuk ke pintu gol Cameroon.

Vargas pula yang terlepas begitu banyak peluang di awal permainan, akhirnya berjaya membantu untuk menyumbat gol kedua pada masa tambahan selepas satu lagi semakan semula menerusi VAR mengesahkan jaringan tersebut.

Kemenangan itu membantu Chile memulakan aksi mereka dengan sempurna pada penampilan sulung pasukan berkenaan dalam kempen Piala Konfederasi, selepas melayakkan diri selaku juara bertahan Copa America, tahun lalu.

Pasukan Amerika Selatan itu bermula garang dan hampir mendahului perlawanan seawal minit pertama, tetapi rembatan Vargas sekadar mengenai palang, sebelum percubaan Jose Fuenzalida mudah diselamatkan penjaga gol Cameroon, Fabrice Ondoa beberapa saat sejurus selepas itu.

Juara Piala Negara-Negara Afrika itu turut berjaya melakukan serangan balas, namun percubaan berbahaya Vincent Aboubakar dinafikan Johnny Herrera, yang menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol menggantikan Claudio Bravo.

Bagaimanapun, Ondoa lebih sibuk berbanding Herrera dalam separuh masa pertama dan dia juga terpaksa menyelamatkan percubaan jarak jauh yang disempurnakan Edson Puch.

Peluang terbaik yang dimiliki Chile sepanjang 45 minit pertama perlawanan ialah menerusi Vargas selepas dia menerima hantaran Vidal, namun, usahanya gagal diterjemahkan kepada jaringan. – AFP