Calon juara Liga Perdana Inggeris, City bakal membariskan benteng pertahanan paling mahal bagi melaksanakan tugas menyelamat, tetapi sudah pasti kesal setelah membiarkan Van Dijk terlepas daripada genggaman, jika mereka gagal mengubah keputusan defisit 3-0 pada timbal balik pertama.

Liverpool berjaya mengetepikan persaingan daripada City untuk menandatangani Van Dijk dengan harga 75 juta pound (RM408 juta) pada Januari dari Southampton, enam bulan selepas percubaan pertama mendapatkan khidmat pemain Belanda itu menemui kegagalan.

Jurgen Klopp menerima kritikan hebat di awal kempen kerana enggan berbelanja bagi mendapatkan pemain gantian untuk Van Dijk selepas peluang Liverpool memberikan cabaran kepada City bagi merebut gelaran berkubur ekoran masalah di benteng pertahanan.

Bagaimanapun, kesabaran pengurus berasal dari Jerman itu mendapatkan khidmat pemain yang menjadi buruannya terbayar apabila Van Dijk berjaya memimpin benteng Reds dengan baik bagi mengekang kemaraan jentera serangan lawan.

“Apa yang kami perlukan di Liverpool ialah pemain yang mampu mempamerkan sikap kepimpinan,” kata Klopp tentang pengaruh Van Dijk, baru-baru ini.

Kapten skuad Belanda itu bakal diuji sepenuhnya di Etihad, selepas Liverpool pernah diaibkan dengan kekalahan 0-5, awal musim ini.

Anak-anak buah Klopp turut dibelasah Tottenham 1-4 dan diikat dengan keputusan seri 3-3 di Arsenal dan Sevilla, sewaktu mereka beraksi di laman lawan sebelum ketibaan Van Dijk.

Sering dibayangi aksi prolifik oleh gandingan tiga pemain di jentera serangan iaitu Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane, persembahan Liverpool di benteng pertahanan semakin mempamerkan peningkatan, tetapi prestasi baik itu tidak terletak dibahu Van Dijk seorang.

Kesemua aksi buruk Liverpool di awal musim juga berjaya ditangani dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold yang kini merupakan pemain pertahanan yang menjadi pilihan utama Klopp. - AFP