Gunners menumpaskan Spurs 4-2 di laman sendiri, hujung minggu lepas, dan menyaksikan dua seteru dari utara London itu berkongsi 30 mata dengan masing-masing di anak tangga keempat serta kelima.

Emery, bagaimanapun, percaya Arsenal mampu mencabar kedudukan teratas jika pasukannya mencatat kemenangan bermula dengan mengatasi United di tempat lawan bagi meneruskan rentak kecemerlangan mereka.

“Jika kami kuat sekarang, maka kami perlu buktikan pada Rabu ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia). Satu perlawanan baharu, cabaran baharu yang besar. Ia adalah perlawanan di tempat lawan dan kami perlu terus meningkatkan keupayaan mental.

“Kami sedar kami perlu berubah untuk menjadi pasukan yang kompetitif. Saya fikir skuad ini sedang dalam pembikinan ke arah itu, namun, perlawanan menentang Manchester United di laman lawan merupakan cabaran lebih besar.

“Satu perlawanan mengujakan. Persiapan untuk aksi ini juga merupakan motivasi besar untuk kami. Ia akan menyuntik motivasi tinggi kepada saya,” kata Emery.

Skuad bimbingan Jose Mourinho, bagaimanapun, sedang bergelut setelah mereka kini jatuh ke kedudukan ketujuh dengan 22 mata selepas 14 perlawanan liga, musim ini.

Arsenal menang ke atas Spurs untuk melebarkan pencapaian tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada 19 dan penyokong mereka kini percaya Gunners mampu muncul pemenang Liga Perdana sejak kali terakhir merangkul gelaran itu pada musim 2003/04 ketika di bawah seliaan Arsene Wenger. – REUTERS